Monday, August 27, 2007

Berita Harian Online: Zainal Jadi 'Duta' Larian Kardio




Zainal jadi ‘duta’ Larian Kardio


PENGALAMAN kehilangan arwah bapa secara mengejut kira-kira 20 tahun lalu akibat serangan jantung dan terbaru sahabat seperjuangannya Hani Mohsin, kira-kira setahun lalu menyedarkan penyanyi, Zainalabidin betapa pentingnya menjaga kesihatan dan mempelajari teknik pernafasan mulut ke mulut (CPR).

Jika dari dulu lagi dia mempelajari CPR mungkin nyawa bapanya arwah bapanya, Mohamaed Mohd Taib yang ketika itu berusia 49 tahun dapat diselamatkan. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hijau itu masih mengingati detik hitam yang menimpa mereka sekeluarga apabila arwah bapanya tiba-tiba rebah.

Apa yang mampu dilakukan keluarganya ketika itu hanyalah menantikan kehadiran ambulans. Padahal bapanya yang bertugas sebagai anggota bomba mengetahui teknik pernafasan mulut ke mulut. Namun sayangnya ilmu itu tidak diturunkan kepada anak-anak.

Kematian arwah Hani Mohsin Hanafi, kira-kira setahun yang lalu juga menyebabkan penyanyi ini kesal. Jika ada orang yang tahu teknik CPR mungkin Mohsin juga dapat diselamatkan. Namun, Zainal tetap percaya kepada ketentuan Tuhan.

Dua orang terdekat dengannya yang meninggal dunia secara mengejut menyebabkan Zainalabidin, 48, kini begitu mementingkan kesihatannya. Dek kesedaran yang timbul itu juga menyebabkan dia sudi bekerjasama dengan Unit Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menganjurkan Larian Kardio bagi mengumpul dana sebanyak RM 500,000 untuk membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan.

Selain Larian Kardio sejauh 5.5 kilometer yang akan diadakan di sekitar kawasan Universiti Malaya, turut diadakan Karnival Kesihatan. Pengunjung yang hadir boleh menjalani pemeriksaan kesihatan, teknik CPR dan banyak lagi perkara yang bermanfaat. Zainal yang baru saja menerima Anugerah Cinta Planet Muzik dalam Anugerah Planet Muzik (APM) Jun lalu akan menghiburkan pengunjung di samping dua lagi penyanyi popular iaitu Anuar Zain dan Farah Asyikin.

Zainal yang ditemui pada sidang media baru-baru ini, dia bercadang melelong lagunya. Pengunjung yang berhasrat untuk mendengar apa saja lagu miliknya boleh membida. Harga permulaannya kata penyanyi itu tidak terlalu tinggi, sementara wang hasil daripada bidaan akan disumbangkan kepada pihak penganjur.

“Saya berharap orang ramai dapat meluangkan masa mereka untuk berkunjung ke karnival ini. Banyak faedah yang bakal mereka pelajari dan ketahui daripada karnival ini. Saya bersetuju untuk terbabit di dalam program ini kerana saya mahu bantu untuk menyedarkan orang ramai betapa pentingnya mereka mengambil berat soal kesihatan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Larian Kardio, Profesor Madya Dr Haizal Haron Kamar berkata, ini adalah kali pertama pihaknya menganjurkan larian amal yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit jantung yang juga pembunuh nombor satu sejak 1970 lagi.

Katanya, pihaknya mensasarkan kira-kira 10,000 orang akan turut serta di dalam larian amal yang akan diadakan pada 2 September ini jam 7 pagi bermula di Pusat Sukan Universiti Malaya.

“Objektif kita untuk dapatkan dana bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan. Kadang-kadang kita mahu bantu pesakit tetapi mereka tidak mampu. Namun kami tidak pernah menolak untuk merawat mereka.

“Ini adalah kali pertama kita menganjurkan program seperti ini. Sebagai permulaan, kita tidak mensasarkan kutipan yang tinggi. Sekiranya program ini berjaya, kita akan memikirkan untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai program Larian Kardio PPUM 2007, yuran penyertaan adalah RM 15 untuk individu dan RM10 untuk pelajar. Hadiah wang tunai bernilai RM500, RM300 dan RM200 akan menjadi milik pemenang tempat pertama hingga ketiga.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan borang penyertaan, ia boleh dimuat turun dari laman web www.ummc.edu.my atau hubungi seketeriat yang bertanggungjawab di talian 03-80756000.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: