Angioplasti primer waktu cemas
ADA kalanya, sesetengah daripada kita mengalami masalah serius dengan jantung dan pembuluh darah/arteri yang membekalkan jantung dengan darah bagi membolehkannya mengepam darah.
Pembuluh darah ini dikenali sebagai arteri koronari. Oleh itu, ia dinamakan sebagai penyakit jantung koronari.
Apabila deposit lemak terkumpul di dalam arteri, ia menjadi sempit dan darah yang mengalir melaluinya berkurangan.
Selain menyebabkan sakit dada atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai angina, keadaan ini juga boleh mengakibatkan serangan jantung yang ditakuti ramai.
Proses yang menyebabkan arteri ini menjadi sempit dinamakan sebagai aterosklerosis.
Angina sering berlaku apabila jantung terpaksa bekerja dengan lebih kuat daripada biasa, misalnya ketika melakukan senaman ataupun terdapat gangguan emosi.
Bahagian jantung yang arterinya sempit tidak mendapat oksigen yang mencukupi dan ini menyebabkan sakit dada.
Serangan jantung pula adalah apabila arteri yang sempit tadi menjadi tersumbat sepenuhnya dengan tiba-tiba disebabkan oleh darah beku pada punca yang sempit.
‘‘Serangan jantung ialah kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah.
‘‘Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma di dalam salur darah arteri koronari itu. Sekiranya gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati,’’ kata Pakar perunding Kardiologi, Pusat perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Haizal Haron Kamar.
Menurutnya, lebih kurang setengah pesakit yang mengalami serangan jantung akan mati dalam beberapa minit sehingga satu jam selepas mengalami tanda-tanda serangan jantung.
‘‘Mereka ini tidak pun sempat datang ke hospital untuk mendapat rawatan serangan jantung yang menjadi sebab utama kematian mengejut di Malaysia. Justeru, adalah penting rawatan untuk mengembalikan pengaliran darah di arteri koronari itu dibuat secepat mungkin.
‘‘Untuk merawat angina dan menghalang serangan jantung, adalah baik untuk mengetahui kedudukan arteri koronari yang sempit dan keadaannya. Dengan ini, doktor akan berupaya untuk menentukan rawatan yang terbaik,’’ ujar beliau.
Rawatan serangan jantung
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
Tahukah anda bahawa rawatan khusus untuk serangan jantung cuma bermula pada pertengahan tahun 80-an. Sebelum itu pesakit serangan jantung hanya dirawat di Unit Penjagaan Koronari.
Prof. Haizal berkata, untuk menghilangkan gumpalan darah yang menyekat pengaliran darah, rawatan biasa ialah dengan memberikan thrombolisis – sejenis ubat yang diberikan melalui intravena (suntikan vena lazimnya di tangan).
Rawatan lain, dan yang dijangka lebih baik adalah dengan menggunakan kaedah angioplasti.
Sebelum itu, untuk melihat sama ada ia sempit atau tersumbat, doktor akan melakukan prosedur angiogram koronari iaitu sinar-X arteri jantung.
Ia merupakan ujian penyiasatan yang penting apabila doktor mengesyaki seseorang itu menghidap penyakit jantung.
‘‘Dalam ujian ini, satu tiub/kateter yang panjang dan kecil akan dimasukkan ke dalam arteri di pangkal paha atau lengan setelah pesakit diberikan bius setempat.
‘‘Tiub ini digerakkan di dalam arteri tersebut sehingga ia sampai ke jantung. Bahan pewarna khas akan disuntik ke dalam arteri koronari di jantung dan gambar sinar-X diambil.
‘‘Gambar sinar-X ini akan memberikan maklumat terperinci mengenai keadaan jantung dan arteri koronari kepada doktor,’’ jelasnya panjang lebar semasa satu prosedur ke atas pesakit Syed Yusuf Al-Habshee, 54, dijalankan di PPUM, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Prof. Haizal berkata, jika perlu, angioplasti iaitu satu kaedah mekanikal untuk membuka arteri koronari yang sempit atau tersumbat, akan dilakukan.
Ia melibatkan penggunaan belon dan juga stent. Kebiasaannya angioplasti dilakukan sebagai prosedur elektif di mana pesakit akan dimasukkan ke hospital dalam keadaan stabil untuk tujuan rawatan sebegini.
Apabila angioplasti ini dilakukan dalam keadaan cemas semasa terjadinya serangan jantung maka kaedah ini dipanggil angioplasti primer.
‘‘Angioplasti primer adalah kaedah yang paling baik untuk membuka saluran darah yang tersumbat semasa serangan jantung.
‘‘Walaupun kos rawatan ini juga adalah lebih mahal berbanding rawatan trombolisis, angioplasti primer ternyata lebih berkesan untuk menyelamatkan nyawa dalam jangka masa pendek dan juga panjang,’’ terang Prof. Haizal.
No comments:
Post a Comment